Keluarga Haji Md Shah

Haji Sulaiman, Haji Md Zain, Haji Yusuf & En Nawawi

Hj Md Shah telah berkahwin dengan Komeng bte Baba yang berasal dari Bukit Beruang, Melaka. Dari perkahwinan ini telah dikurniakan dengan tiga orang anak, iaitu anak pertama Hj Shafie, yang lahir pada tahun 1915. Anak kedua ialah Mustaffa yang meninggal dunia pada tahun 1945 ketika umur 30-an. Anak yang ketiga ialah Omar yang meninggal dunia semasa kecil. Isteri beliau, Komeng meninggal dunia pada tahun 1920, dan Hj Md Shah berkahwin pula dengan Hjh Embah bte Omar juga berasal dari Bukit Beruang, Melaka iaitu anak buah kepada Komeng. Dari perkahwinan ini, beliau telah dikurniakan seramai 14 orang anak dan seorang anak angkat.


Haji Shafie & keluarga

Anak pertama dari perkahwinan dengan Hjh Embah ialah Mohd Said. Anak kedua Munji ; ketiga ialah Sarifah atau Asifah; keempat Salmah; kelima Maimunah; keenam Md Zain; ketujuh Fatimah; kelapan Sulaiman; kesembilan Muhammad; kesepuluh ialah Md Amin; kesebelas ialah Md Nor; kedua belas Salmiah; ketiga belas Yusof dan keempat belas yang bongsu ialah Nawawi ; dan anak angkat beliau pula ialah Chik.

Dari perkahwinan pertama dan kedua ini beliau dianugerahkan seramai 17 orang anak. Kini yang masih hidup ialah seramai tujuh orang sahaja, iaitu Hj Shafie, Datin Hjh Maimunah, Hj Md Amin, Hj Md Nor, Hj Yusof, Hjh Salmiah dan Nawawi. Alhamdulillah Allahyarham Hj Md Shah telah dianugerahkan pula seramai 76 orang cucu.


Datin Hajah Maimunah & Hajah Salmah
Haji Munji & Hjh Maimun (21.1.1979)

Penulis secara peribadi tidak banyak mengetahui Hj Md Shah, kerana sewaktu Hj Md Shah meninggal dunia, penulis masih kecil lagi, kira-kira berumur enam tahun. Memang tidak dinafikan bahawa penulis tidak berpeluang untuk bermanja dengan arwah datuknya sendiri. Penulis pernah diberitahu bahawa beliau seorang yang cukup ketat dengan disiplin dari segi mendidik anak-anak khususnya aspek keagamaan.

Sifat peribadi Hj Md Shah sendiri tidak dapat dibutirkan dengan terperinci. Datin Hjh Maimunah berpendapat bahawa lantaran banyak menghabiskan masa di sekolah dan di maktab, kerana bertugas sebagai Guru Besar Maktab dan juga Guru Pelawat Sekolah Bandar Melaka, Hj Md Shah seorang yang tegas dalam mendidik anak. Jika ada tetamu yang mengunjung ke rumah beliau akan menggunakan isyarat mata dan tangan. Anak-anak perempuan akan masuk ke dalam rumah (dapur) untuk menyediakan minuman untuk tetamu.

Hajah Saadiah, Datin Hajah Maimunah & Hajah Salmiah

Datin Hajah Maimunah, Hajah Salmiah & Hajah Mariam

Hj Md Shah seorang yang cermat, berhemat dan berjimat cermat. Dalan sibuk bertugas mendidik anak bangsa pada zaman itu, mampu membeli dan mengumpul harta seperti membeli tanah kampung, malah kebun getah dan tanah sawah. Tidak diketahui apakah beliau ada mewarisi tanah pusaka dari nenek moyangnya pula. Selain dari berharta, lantaran penglibatan beliau dalam Persatuan Seruan Islam, beliau sering mengadakan kenduri atau tahlil untuk menjamu rakan-rakan di rumahnya sendiri di Melaka Pindah. Dari sudut yang lain, orang yang berada sahaja yang mampu memiliki rumah berbumbung tiga, kerana lazimnya rumah kampung berbumbung satu atau dua, iaitu rumah ibu dan dapur.

Haji Md Shah kembali dari mengerjakan Haji pada 1960
Haji Md Shah bersama anak-anak dan cucu-cucu pada 1960

Tarikh 3 Februari 2001 adalah bersejarah untuk anak cucu Allahyarham Hj Md Shah Yusuf kerana diadakan Hari Keluarga Hj Md Shah Yusuf. 1894 adalah tarikh kelahiran beliau, jika masih hidup, kini berusia 107 tahun. Adalah diharapkan cucu-cicit dan generasi akan datang akan terus berusaha menyemarakkan kembali panji-panji kecemerlangan yang pernah dikibarkan oleh Allahyarham semasa hidupnya. Beliau adalah watak mithali untuk kita semua. Semarakkanlah kegigihan, jimat cermat, hemat, semangat kebangsaan, kesukarelaan dan keilmuan pada masa lalu. Carilah erti kehidupan agar dapat kita membina kehidupan yang bererti untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat, bangsa, tanahair dan agama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan