Latar Belakang Keluarga Haji Md Shah

Allahyarham Tuan Haji Md Shah Yusof
(1894-1960)
Haji Md Shah bin Yusof telah dilahirkan pada 1894 di Kampung Melaka Pindah, Alor Gajah, Melaka. Bapa beliau yusof bin Sadat anak jati Melaka Pindah ialah seorang pemintal dan penjual tali ijuk. Haji Md shah Yusof memulakan pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Melaka Pindah dan kemudian melanjutkan pelajaran ke Maktab Melayu Melaka pada tahun 1909. Haji Md Shah telah lulus dari Maktab Melayu Melaka pada tahun 1911. Beliau telah dilantik menjadi guru penolong di Sekolah Latihan Maktab tersebut pada tahun yang sama. Pada tahun 1914, beliau telah dilantik sebagai guru bahasa Melayu di Maktab tersebut dan menjadi pembantu kepada Munshi Sulaiman Md.Nor. Ramlah Adam menyebut mengenai guru-guru yang telah berkhidmat lama di Maktab tersebut. Haji Md Shah disebutkan menjadi guru pada 1901-1906, mengajar Bahasa Melayu, lukisan dan latihan guru. Kenyataan ini kurang tepat kerana pada 1901, Hj Md Shah baru sahaja berumur 7 tahun.

Hj Md Shah pernah dilantik menjadi Guru Besar Maktab Melayu Melaka dari tahun 1921 hingga tahun 1922. Ketika Maktab Melayu Melaka dipindahkan ke Tanjung Malim, Perak , Hj Md Shah dilantik sebagai Guru Pelawat untuk sekolah-sekolah Melayu di Melaka, termasuk untuk sekolah perempuan. Ada pendapat mengatakan bahawa Hj Md Shah telah menolak jawatan Guru Besar di Maktab Perguruan Sultan Idris. Ada pula yang berpendapat bahawa Hj Md Shah telah diturunkan pangkat dari Guru Besar Maktab ke Guru Pelawat kerana aktifnya beliau di dalam kegiatan penulisan.

Perkhidmatan Hj Md Shah di dalam bidang pendidikan tamat apabila beliau bersara dari jawatan guru pada 7 September 1949 dan meninggal dunia pada 6 Disember 1960 ketika berusia 66 tahun. Ramlah Adam juga turut menyatakan dari sumber Hajah Rokiah Daud (anak saudara Hj Md Shah) bahawa Hj Md Shah telah meninggal dunia pada tahun 1948. Kenyataan ini juga tidak tepat.

Pada zaman sebelum Perang Dunia Kedua, pada tahun 10-an, 20-an, 30-an, 40-an dan 50-an, pekerjaan dan jawatan tertinggi yang boleh dicapai oleh seorang anak Melayu ialah menjadi guru atau cikgu. Jika seorang anak Melayu terpilih memasuki Maktab atau kolej pada zaman itu, ia adalah pencapaian yang terbaik dan tertinggi. Dasar Pendidikan pemerintah British ialah untuk menjadikan anak-anak Melayu nelayan atau petani yang lebih baik dari ibu bapa mereka.

Malay College Kuala Kangsar (MCKK) yang ditubuhkan pada 1905 untuk menampung anak-anak raja dan orang berketurunan. Anak-anak orang kebanyakan tidak layak ditempatkan di MCKK. Terpilih memasuki Maktab Melayu Melaka (1900-1922) dan Sultan Idris Training College (SITC) merupakan satu kejayaan untuk anak-anak orang kebanyakan.

Buku Senjuh Suratan
Selama tiga tahun di Maktab Melayu Melaka sebagai pelajar (1909-1911); dan mula berkhidmat Guru Penolong di Sekolah Latihan Maktab . Gaji yang dibayar seorang guru penolong kelas II ialah sebanyak $11.00 sebulan, manakala guru penolong kelas I pula $12.50 sebulan. Gaji Guru Pelawat ialah antara $40.00-$50.00 sebulan.

Semasa menjadi guru bahasa Melayu dan pembantu kepada Munsyi Sulaiman, Hj Md Shah telah mula menulis buku yang bertajuk Senjuh Suratan Dn disempurnakan pada 1921, yang diterbitkan oleh Matbah Kahariah, Bandar Maharani, Muar. Buku ini pada asalnya dicetak dalam huruf jawi, setebal 64 halaman. Secara umumnya buku ini menjelaskan ‘aturan jalan karangan bahasa Melayu’. Tujuan Hj Md Shah menulis buku ini agar menjadi panduan bagi murid-murid menulis karangan-mengarang. Buku ini telah disunting semula oleh Dr Hashim Musa, professer di Akademi Pengajian Melayu, dan diterbitkan semula oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1992.




Peranan guru-guru Melayu cukup penting dalam gerakan mengubah pemikiran rakyat, di samping mencetus rasa dan semangat kebangsaan Melayu pada tahun-tahun sebelum Perang Dunia Kedua. Gerakan pembaharuan pemikiran disalurkan melalui media akhbar dan majalah. Guru-guru Melayu telah menubuhkan Kesatuan Guru-guru Melayu untuk turut terlibat di dalam gerakan kesedaran dan pembaharuan pemikiran. Pada 1 Februari 1923, Hj Md Shah telah mengasaskan Kesatuan Guru-guru Melayu Melaka.

Saluran idea pembaharuan yang cukup efektif ialah surat khabar dan majalah. Hj Md Shah ialah diantara pengasas Majalah Guru yang diterbitkan pada kali pertama pada 1 November 1924. Majalah ini memainkan peranan yang amat penting di samping surat khabar dan majalah lain untuk menyedarkan rakyat. Guru-guru Melayu menguasai mdia untuk menyuarakan pendapat mereka melalui makalah rencana dan karya sastera.

Guru-guru Melayu adalah inteligensia atau intelektual Melayu pada masa itu seperti juga infeligensia Melayu berpendidikan Inggeris dan yang berpendidikan agama Islam. Mereka adalah penggerak semangat kebangsaan Melayu yang cukup efektif, yang memperjuangkan pemerintah sendiri dan kemerdekaan agar bebas dari belenggu penjajahan.

Justeru adanya semangat untuk mempertingkatkan kemajuan pemikiran dan pendidikan Melayu, maka Hj Md Shah Yusuf terlibat di dalam bidang penulisan. Walaupun penulisan beliau lebih tertumpu kepada persoalan kebahasaan, namun ia adalah usaha mempertingkatkan dan memperkayakan Bahasa Melayu. Anak-anak Melayu kekurangan dan ketiadaan buku teks sekolah, oleh kerana itu guru-guru Melayu lulusan Maktab Melayu Melaka dan Idris Training College (SITC) menggerakan usaha penulisan buku-buku Melayu. Lantaran penulisan tersebut boleh menyedarkan rakyat, Hj Md Shah pernah diberi amaran oleh British; khususnya dari Pengarah Pendidikan Melaka dan Kuala Lumpur. Penulis Senjuh Suratan itu juga diberi amaran oleh Nazir-Nazir Sekolah dan Penolong Pengarah Pelajaran di Kuala Lumpur.

Kesedaran kebangsaan ini turut meluas dan melebar di dalam gerakan kesusasteraan. Persaudaraan Sahabat Pena Melayu (PASPAM) telah diasaskan pada 15 April 1934, dan cawangannya ditubuhkan di Melaka pada 1 April 1936. Hj Md Shah ialah Yang di Pertua cawangan Melaka dari semenjak ditubuhkan hinggalah pada 8 Disember 1941, apabila pecah Perang Dunia Kedua. Wadah kesusasteraan merupakan salah satu wahana kesedaran kebangsaan Melayu. Hj Md Shah ialah seorang ahli Lembaga Bahasa yang dibawah tadbir PASPAM.

Pertubuhan politik Melayu yang terawal ialah Persatuan Melayu Singapura (1926) yang diketuai oleh Muhammad Eunos Abdullah. Kesedaran berpolitik Melayu telah mula meningkat dengan tertubuhnya persatuan atau kesatuan Melayu di seluruh pelusuk tanahair. Suara-suara Melayu berkumandang melalui persatuan atau kesatuan ini membicarakan tentang hak dan tuntutan Melayu. Kesedaran ini turut dirasakan di Melaka. Kesatuan Melayu Melaka ditubuhkan pada 29 September 1937, dan Hj Md Shah Yusuf merupakan Naib Yang di Melayu Melaka. Pergerakan politik Kesatuan Melayu Melaka kemudiannya terserap ke dalam UMNO yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946. Hj Md Shah juga merupakan salah seorang pengasas UMNO Alor Gajah, Melaka.

Sumbangan guru-guru Melayu di dalam gerakan kesedaran kebangsaan cukup besar. Suara-suara kemelayuan dan kemerdekaan di salurkan melalui penubuhan persatuan-persatuan. Dari semenjak 1941-1947 Hj Md Shah menjadi Yang di Pertua Kesatuan Guru-Guru Melayu Melaka. Lebih awal dari itu, Hj Md Shah pernah menjadi Setiausaha yang pertama Syarikat Guru-Guru Melayu Melaka, yang ditubuhkan pada 19 Januari 1926. Barangkali dengan sifat cermat, hemat dan jimat beliau telah dilantik menjadi Setiausaha Syarikat Guru-Guru. Penglibatan Hj Md Shah Yusuf di dalam aktiviti dan pergerakan kemasyarakatan tidak sahaja di dalam bidang pendidikan, kesusasteraan, politik, kesatuan guru-guru, beliau juga terlibat dengan cergas dalam gerakan dakwah Islamiah dan dilantik sebagai Yang di Pertua Persatuan Seruan Islam Melaka mulai dari 22 Februari 1948.

Walaupun beliau bersara pada 7 September 1949 dengan jawatan terakhir sebagai guru pangkat khas, tidak bermakna berhenti segala aktiviti kemasyarakatan beliau. Di samping aktif di dalam Persatuan Seruan Islam Melaka, beliau turut aktif dalam Ikatan Persuratan Melayu Melaka (IPM) yang ditubuhkan pada tahun 1950. Beliau turut hadir sebagai pemerhati IPM di Kongres Tanah Melayu kali ketiga yang diadakan di Universiti Malaya, Singapura. Di dalam Kongres Kebudayaan Melayu pertama 1957-1958 di Melaka, beliau membentangkan kertas kerja iaitu Adat Istiadat dan Budi Bahasa.

Tidak diketahui berapa banyak buku yang dihasilkan oleh Hj Md Shah, namun beliau telah menyumbang segala kemampuan keilmuan beliau di dalam beberapa buah buku yang diterbitkan oleh Bingkasan Pujangga Singapura. Selain dari Senjuh Suratan, beliau ada menulis Kamus Bahasa Inggeris-Melayu, Perkataan Bererti dan lain-lain. Beliau juga adalah penyusun Kamus Am Melayu yang mengandungi 692 halaman yang diterbitkan oleh Pustaka Rakyat, No. 11 Riverside, Melaka pada tahun 1957.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan