7 Ogo 2013

Selamat Hari Raya 1434H

Assalamualaikum kepada semua ahli PKHMS,


Sedar tidak sedar hampir sebulan kita telah berpuasa di bulan Ramadan bagi menunaikan rukun Islam yang ketiga. Dalam pada itu juga kita menuju kepada hari kemenangan kita yang disambut pada bulan Syawal. Sempena bulan Syawal yang akan menjelang tiba ini, kami dari pihak PKHMS ingin mengucapkan Selamat Hari Raya dan mohon ampun dan maaf sekiranya ada yang kesilapan yang dilakukan kepada semua ahli PKHMS.

Kami juga ingin mengingatkan kepada semua ahli agar berhati-hati dalam perjalanan pulang ke kampung halaman dan semasa jalan beraya ke rumah sanak-saudara. Sebelum pulang jangan lupa untuk memeriksa keadaan rumah dan kereta agar tiada sebarang masalah yang berlaku. Akhir sekali, jagalah diri anda dan keluarga agar sihat sentiasa dan dalam keadaan yang baik. Jika makan, biarlah berpada-pada jangan sampai merana diri.

Dikesempatan ini, ingin kami berpantun raya. Kalau tidak berpantun, bukan orang Melaka namanya.
Andai Hamka menyusun kata
Terciptalah kata-kata yang aulia 
Mari bermaafan sesama kita 
Di pagi Aidilfitri yang mulia
Dalam manis ada hempedu
Dalam kata-kata banyak maknanya
Sayunya hati ramadhan yang kian berlalu
Untuk menyambut bulan syawal yg bakal menjelma
Ketupat nasi ketupat palas
Masakan timur dan juga barat 
Maaf di hati mohonnya ikhlas
Salah ditegur maaf beradat 

10 Jul 2013

Salam Ramadhan 1434H


Assalam kepada semua ahli PKHMS,

Untuk tahun 1434H ini, sekali lagi bulan Ramadhan telah menjelang tiba dan tidak terasa bulan yang agung penuh berkah rahmat dan ampunan Ilahi segera menyapa kita ditahun 2013. Ini secara tidak langsung juga, bermula tanggungjawab umat Islam menunaikan rukun Islam yang ketiga. Semoga kedatangan Ramadhan ini mendatangkan keberkatan dan kerahmatan kepada kita untuk merasai nikmatnya ibadah dan amal dalam bulan penuh keberkahan ini.

Oleh itu, dengan rasa syukurnya kami dari pihak PKHMS ingin mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua ahli PKHMS dan berharap agar kita dapat berjumpa pada Mesyuarat Pakatan Keluarga Haji Md Shah di hari kedua bulan Syawal nanti.

RENUNGAN DIRI & BERSAMA

PERASAN TAK ??

PERASAN TAK?...Duit RM50 kelihatan begitu besar bila dibawa ke kotak derma masjid, tapi begitu kecil bila dibawa ke StarHill, MegaMall dan seangkatan dengannya...

PERASAN TAK?...30 minit terasa begitu lama untuk berzikir, tetapi begitu pendek untuk menonton drama2 di televisyen...
...
PERASAN TAK?...Betapa lamanya 2 jam berada di masjid, tetapi betapa cepatnya 2 jam ketika menonton wayang di panggung...

PERASAN TAK?...Susah sungguh merangkai kata untuk dipanjatkan doa ketika solat, tapi betapa mudahnya cari bahan bersembang bila bertemu kawan-kawan...

PERASAN TAK?...Betapa seronoknya mendengar seruan dan teriakan yang berpanjangan waktu perlawanan bola sepak, tapi betapa bosannya bila imam solat terawih bulan Ramadhan lama dan panjang...

PERASAN TAK?...Susah sangat baca Al-Quran 1 juzuk saja, tapi majalah hiburan dan novel best seller 100 halaman pun habis ditelaah...

PERASAN TAK?...Orang berebut depan untuk menonton bola dan konsert, tapi berebut saf paling belakang bila solat Jumaat supaya boleh cepat keluar....

Ada 3 Hal dalam hidup yang tidak boleh kembali :
1. Waktu
2. Kata-kata 
3. Kesempatan

Ada 3 Hal yg dapat menghancurkan hidup seseorang:
1. Kemarahan
2. Keangkuhan
3. Dendam

Ada 3 Hal yang tidak boleh hilang :
1. Harapan 
2. Keikhlasan 
3. Kejujuran

Ada 3 Hal yang paling berharga:
1. Kasih Sayang
2. Cinta
3. Kebaikan

Ada 3 Hal dalam hidup yang tidak pernah pasti:
1. Kekayaan
2. Kejayaan
3. Mimpi

Ada 3 Hal yang membentuk watak seseorang:
1. Komitmen 
2. Ketulusan 
3. Kerja keras 

Ada 3 Hal yang membuat kita sukses:
1. Tekad 
2. Kemahuan 
3. Fokus ..

Ada 3 Hal yang tidak pernah kita tahu:
1. Rezeki
2. Umur
3. Jodoh

TAPI, ada 3 Hal dalam hidup yang PASTI :
1. Tua
2. Sakit

3. Kematian

5 Jul 2013

Platform Baru dan Wajah Baru


Assalamualaikum ahli PKHMS,

Kita telah mengharungi separuh daripada tahun 2013, pelbagai perkara yang telah diharungi, dikecapi dan ada yang telah dilepaskan untuk sesuatu perkara yang kita hadapi sekarang.

Kami dari pihak PKHMS juga menghadapi pelbagai kesulitan untuk menguruskan laman web pkhms.net disebabkan oleh kesilapan teknikal. Antara kesilapan teknikal ini adalah kelemahan keselamatan sistem yang mana ramai pengodam telah mengodam laman web PKHMS sehingga telah berjaya menceroboh pangkalan data untuk mengucar-kacirkan laman web tersebut. Oleh itu, kami telah memindahkan kandungan web berkenaan kepada bentuk weblog yang mana ia lebih mudah untuk diakses oleh ahli PKHMS serta tidak mudah digodam.

Oleh itu, kami dari pihak PKHMS ingin meminta maaf atas segala kesulitan yang wujud semasa mengakses laman web PKHMS. Semoga dengan adanya platform baru ini, ia dapat memudahkan ahli PKHMS untuk mendapatkan dan menyebarkan maklumat mengenai PKHMS.

Kepada sesiapa yang ingin memberikan makluman, berita serta iklan boleh email kepada pihak PKHMS di pkhms1981@gmail.com. Sekian, terima kasih.

17 Apr 2013

MYDIN Disebalik Tabir


Mydin Mohamed Holdings Berhad melancarkan buku sejarah penubuhannya, Mydin Di Sebalik Tabir, atau versi Inggerisnya Mydin The Untold Story. Buku yang menceritakan tentang sejarah pahit maung pengasasnya, Tuan Mydin Mohamed, dalam membangunkan perniagaan itu ditulis oleh Pengarah Sumber Manusia Mydin, Datin Dr. Siti Hawa Mohd. Menurut beliau, buku itu memuatkan kisah tentang bagaimana MYDIN bermula daripada sebuah perniagaan kecil-kecilan sehingga menjadi salah sebuah pasar raya terbesar di negara ini.

Tambahnya lagi, idea untuk menulis buku ini bermula sejak tahun 1998, iaitu ketika beliau ditawarkan jawatan sebagai Pengarah Sumber Manusia di Mydin. “Namun, hanya dua tahun kebelakangan ini saya baru berkesempatan untuk melengkapkan penulisan buku ini,” katanya. Buku ini sesuai bagi mereka yang ingin menceburkan diri dalam bidang keusahawanan serta perniagaan, tanpa mengira umur dan latar belakang sosial. Segala nilai murni yang ditonjolkan dapat dijadikan panduan oleh para pembaca, terutamanya bagi yang berada dalam bidang perniagaan untuk menjadi seorang peniaga yang berdaya saing

Harga bagi buku ini ialah RM 12.90 bagi versi bahasa Melayu manakala RM 14.90 untuk versi bahasa Inggeris. Majlis yang diadakan di Mid Valley Exhibition Center (MVEC) Mid Valley itu turut dihadiri Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Dato’ Ameer Ali Mydin, beserta Ketua Pegawai Eksekutif MPH Group, Datuk Ng Tieh Chuan.

P/S: Kepada semua ahli PKHMS, dapatkanlah edisi buku ini dipasaran. Moga buku ini dapat memberikan inspirasi kepada kita untuk maju kehadapan dalam apa jua bidang yang kita lalui.

1 Jan 2013

Selamat Tahun Baru 2013


Assalamualaikum semua ahli PKHMS,

Selamat Tahun Baru 2013dari kami, pihak PKHMS dan kami mengharap agar tahun 2013 menjadi lebih baik dari tahun-tahun sebelum ini.

Pelbagai peristiwa yang berlaku pada tahun ini, suka duka pahit manis dilalui. Kepada yang sudah pergi ramai-ramailah kita menyedekahkan surah Al-Fatihah. Kepada yang baru mendirikan rumah tangga ucapan semoga berbahagia ke anak cucu diucapkan. Kepada yang menyambut kedatangan ahli keluarga baru, semoga berbahagia dengan pemberian dari Allah s.w.t.

Kami doakan agar tahun ini menjadi tahun yang terbaik buat anda dan famili

Sekian, terima kasih.

5 Nov 2012

Muhammad Harith Irfan Bin Muhammad Hafidz


Assalamualaikum kepada semua ahli PKHMS,

Ucapan tahniah dari pihak PKHMS diucapkan kepada Keluarga Muhammad Hafidz dan Nensi kerana telah dikurniakan seorang cahaya mata yang diberi nama Muhammad Harith Irfan. Muhammad Harith Irfan telah selamat dilahirkan di Hospital Putrajaya pada hari pertama Hari Raya Aidiladha iaitu 26 Oktober 2012 bersamaan 10 Zulhijjah 1433H.

Dengan kelahiran Muhammad Harith Irfan ini, ia dapat mendatangkan kebahagiaan dan keceriaan kepada keluarga Datuk Haji Zainal Abidin dan Datin Siti Hanifah. Doa dari kami agar Muhammad Harith Irfan menjadi anak yang soleh dan berguna untuk agama, bangsa dan negara. Sekian, terima kasih.

22 Okt 2012

Perkahwinan Hanisah & Eusoff


Assalamualaikum ahli PKHMS,

Ucapan tahniah dari kami pihak PKHMS kepada pasangan pengantin Hanisah Binti Muhammad Nasir dan teman hidupnya Eusoff Salehuddin Bin Md Salehuddin yang telah diijabkabulkan pada hari Ahad bersamaan 21hb Oktober 2012 di Masjid Klebang Besar, Melaka. Bagi kami di pihak PKHMS ingin mengucapkan tahniah kepada pasangan pengantin dan keluarga Haji Muhammad Nasir di atas keberkatan perkahwinan ini. Kami juga mendoakan agar pasangan pengantin baru ini berbahagia sehingga ke akhir hayat mereka dan dikurniakan cahaya mata yang soleh/solehah.

Majlis persandingan pasangan mempelai ini telah dilangsungkan dengan jayanya di Dewan Bistari Ayer Keroh, Melaka. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada para hadirin yang hadir serta ahli keluarga yang membantu untuk menjayakan majlis ini.

Sekian