Sempena menyambut tahun baru ini, pihak PKHMS ingin mengucapkan salam Maal Hijrah kepada semua ahli PKHMS yang berada di mana-mana. Semoga dengan datangnya tahun baru ini, ia dapat memberikan rahmat dan keberkatan dari Allah swt kepada diri, keluarga dan masyrakat. Kepada pelajar-pelajar yang sedang mengambil peperiksaan SPM, kami dari pihak PKHMS mengucapkan selamat berjaya dan berusaha sehingga ke saat-saat terakhir.
Dari Abdullah bin Mas'ud, katanya:"Bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Tiap-tiap Nabi yang diutus sebelum saya mempunyai pengikut-pengikut dan sahabat-sahabat yang terpilih dari umatnya masing-masing; mereka itu berpegang kepada contoh Nabinya dan menuruti perintahnya; kemudian setelah zaman itu berlalu mereka disambung oleh generasi yang hanya pandai berkata, tetapi tidak bekerja,dan bekerja tetapi tidak menuruti pedoman-pedoman Nabinya. Sesiapa menentang kaum itu dengan kekerasan, mu'minlah ia, menentangnya dengan perkataan, mu'min pula, dan menentangnya dengan hatinya mu'min juga; dan telah habislah iman dari orang-orang yang tidak menentang kemungkaran, walaupun dengan hatinya."
Assalam semua ahli PKHMS, Pada esok hari, kita menyambut Hari Raya Aidil Adha yang merupakan salah satu hari kebesaran bagi umat Islam seluruh dunia. Pada hari yang cukup penting lagi dipenuhi sejarah ini, seluruh umat Islam bertakbir, bertasbih, bertahmid, dan turut beringat-ingat tentang kisah yang menjadi teladan buat kita semua: bagaimana Nabi Ismail a.s. telah dengan rela hati meminta ayahandanya Nabi Ibrahim a.s. mengikuti perintah Allah s.w.t. agar dia dikorbankan. Kita semua ingat bagaimana di saat-saat akhir, Allah s.w.t. telah menggantikan Nabi Ismail a.s. dengan seekor biri-biri, yang akhirnya menjadi korban. Tetapi, apa yang harus kita ingat juga ialah pengajaran: betapa peritnya perasaan si bapa, Nabi Ibrahim a.s., yang harus mengetepikan naluri kebapaannya yang terlalu mengasihi anaknya demi mengerjakan perintah Tuhan. Pengorbanan inilah – untuk mengetepikan perasaan sendiri demi sesuatu yang lebih besar dari diri kita sendiri – yang harus kita ingati dan kita amalkan. Subhanallah. Janganlah kita asyik memikirkan diri sendiri hingga melupakan perintah-perintah Allah untuk berbuat baik sesama kita, untuk menegakkan keadilan dan menentang kebatilan. Akhir kata, kepada semua ahli PKHMS, kami dari pihak PKHMS ucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha. Kepada yang ingin pulang ke kampung, berhati-hati lah di jalan raya. Sekian, terima kasih.