30 Jul 2014

Selamat Hari Raya 2014 dan Kelahiran Ahmad Sufi


Assalamualaikum kepada semua ahli PKHMS,

Kami dari pihak PKHMS ingin mengucapkan Selamat hari raya kepada semua ahli keluarga PKHMS bagi tahun 2014. Kami juga ingin meminta maaf zahir dan batin atas segala perbuatan langsung atau tidak langsung.

Kami juga ingin memaklumkan bahawa En Ahmad Nadzri anak kepada Tuan Haji Muhammad Nasir telah dikurniakan seorang cahaya mata yg bernama Ahmad Sufi pada tanggal 5 Julai 2014. Kami ingin mengucapkan tahniah atas kelahiran anak sulong En Nadzri dan isterinya Pn Norbaizura. Semoga anak yang lahir ini menjadi anak yang soleh dan berguna untuk agama, bangsa dan negara.




19 Feb 2014

Pemergian Muhammad Hambali Bin Muhammad Hafidz

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera ahli PKHMS,



Ucapan takziah dari kami pihak serta ahli PKHMS kepada keluarga Datuk Zainal Abidin dan Muhammad Hafidz atas pemergian Muhammad Hambali pada 18 Februari 2014 bersamaan dengan Selasa 19 Rabiulakhir 1435H.

Muhammad Hambali yang berusia 3 hari seberat 3.6 kilogram telah meninggal dunia di Hospital Putrajaya dan telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Presint 20, Putrajaya. Majlis tahlil bagi Muhammad Hambali juga telah diadakan di Surau Pangsapuri Fasa 4C. Mari sama-sama kita berdoa agar roh Muhammad Hambali diberkati dan dirahmati oleh Allah swt.

Al Fatihah


3 Jan 2014

Majlis Perkahwinan Noor Amalina Binti Zainal Abidin dan Mohd Azrul Nizam Bin Mohd Ismail

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,


Terlebih dahulu ingin meminta maaf atas kelewatan untuk menerbitkan ruangan pada kali ini. Ruangan kali ini adalah untuk memberi makluman mengenai majlis perkahwinan untuk puteri kepada Datuk Prof Haji Zainal Abidin dan Datin Siti Hanipah iaitu Noor Amalina dan pasangannya Mohd Azrul Nizam.

Pada tanggal 30 November 2013 bersamaan dengan hari Sabtu telah berlangsungnya majlis pernikahan diantara saudari Noor Amalina dan saudara Mohd Azrul Nizam dirumah Datuk Prof Hj Zainal Abidin di Gombak. Majlis ini telah selamat diraikan oleh keluarga, sanak saudara dan sahabat handai yang juga telah bekerjasama dalam memastikan majlis tersebut berjalan lancar. Bagi majlis persandingan mempelai ini, majlis telah berlangsung pada tarikh 1 November 2013 di Dewan Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa, Bangsar, Kuala Lumpur.

Kami dari pihak PKHMS mengucapkan tahniah dan mendoakan semoga kedua mempelai ini dapat melayari bahtera perkahwinan dengan aman sejahtera dan cepat-cepat menimang cahaya mata.

Sekian, terima kasih

2 Jan 2014

Pemergian Datuk Wira Haji Borhan Bin Md Yaman

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera ahli PKHMS,


Datuk Wira Haji Borhan bin Md Yaman

Setelah beberapa hari pemergian Allahyarham Haji Md Yusof, kita dikejutkan dengan pemergian salah seorang ahli keluarga kita yang dahulunya beliau adalah Pengerusi PKHMS iaitu Datuk Wira Hj Borhan bin Md Yaman. Beliau telah menghembuskan nafas terakhir pada 29 Disember 2013 bersamaan dengan hari Ahad pada pukul 7.40 pagi di Pusat Perubatan UKM, Kuala Lumpur. 

Jenazah beliau telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Klebang Besar, Melaka. Allahyarham yang telah dilahirkan di Lubok Redan, Kuala Sungai Baru telah meninggal dunia pada umur 84 tahun.

Allahyarham yang memang terkenal sebagai seorang ahli politik sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menjadi Yang Dipertua UMNO pada 1951 sehingga 1971. Semasa hidupnya, pelbagai perkara yang dilakukan oleh beliau bagi menegakkan agama, bangsa dan bahasa.

Kita mendoakan semoga roh Allahyarham diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT dalam menghadapi alam lain. Al Fatihah.



Keratan akhbar online:

  1. Berita Harian 29/12/2013
  2. Sinar Harian 29/12/2013
  3. Melaka Hari Ini (30/12/2013)

Pemergian Haji Yusof Bin Hj Md Shah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua ahli PKHMS,


Haji Yusof Bin Hj Md Shah (1942 - 2013)
Kami dari pihak PKHMS dengan dukacitanya ingin memaklumkan mengenai berita pemergian bekas Pengerusi Pakatan Keluarga Haji Md Shah iaitu Haji Yusof Bin Hj Md Shah yang telah meninggal dunia pada tanggal 26 Disember 2013 bersamaan dengan hari Khamis pada pukul 9.30 malam di Hospital Besar Kuala Lumpur.

Jenazah beliau telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat AU 1, Kuala Lumpur yang mana telah dihadiri oleh keluarga dan sahabat handai. Ucapan takziah kepada keluarga Hajah Rohani diatas pemergian Haji Yusof yang juga dikenali sebagai Tok Uda dikalangan cucu-cucunya. Moga roh beliau dirahmati dan diberkati oleh Allah SWT. Amin Ya Rabbal Alamin. Al Fatihah


23 Sep 2013

Tahniah kepada Azlan dan Nurul Huda


Assalamualaikum kepada semua ahli PKHMS

Kami dari pihak PKHMS ingin mengucapkan tahniah kepada pasangan Azlan dan Nurul Huda kerana telah mendapat seorang cahaya mata lelaki yang ketiga pada hari Sabtu bersamaan 21 September 2013.

Ini juga merupakan cucu ketiga untuk keluarga Haji Muhammad Nasir. Semoga kedatangan permata ini dapat menambahkan lagi keceriaan dan keharmonian keluarga ini. Kami doakan agar permata baru ini menjadi anak yang soleh serta umat Islam yang terbaik.

P/S: Untuk doa agar anak mudah solat boleh amalkan doa dari Surah Ibrahim ayat ke 40. Inshallah anak serta keturunan kita menjadi lebih amanah dalam menunaikan solat iaitu tiang agama Islam.

31 Ogo 2013

Sekitar Majlis Perkahwinan Nadzri & Norbaizura dan Nur Sabrina & Hamdan


Assalamualaikum kepada semua ahli PKHMS,

Pihak PKHMS ingin mengucapkan tahniah kepada kedua mempelai iaitu Nadzri & Norbaizura dan yang telah melayari bahtera perkahwinan dengan berlangsungnya Majlis Perkahwinan mereka pada 24 Ogos 2013. Pihak Encik Muhammad Nasir dan keluarga ingin mengucapkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua ahli PKHMS yang hadir ke majlis ini. Mohon agar mendoakan kedua mempelai semoga berbahagia hingga ke akhir hayat.


Sempena 31 Ogos 2013 ini, pihak PKHMS ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 56 kepada semua warga PKHMS. Nikmatilah kemerdekaan ini dengan rasa syukur dan bangga  sebagai rakyat Malaysia dengan cara mengikis rasa benci dan diskriminasi sesama bangsa Malaysia. Selamat Hari Kemerdekaan ke 56.