Menu
11 Mac 2012
Perkahwinan Mohd Fairus & Nurul Hanis
Assalamualaikum semua ahli PKHMS,
Tahniah kami ucapkan kepada pasangan pengantin Mohd Fairus dan teman hidupnya Nurul Hanis yang telah melangsungkan majlis perkawinan mereka pada hari Ahad bersamaan 11 Mac 2012. Di alamat No. 44, KM 18, Kampung Pulai, Durian Tunggal, 76100, Melaka. Kedua pasangan ini adalah putera dan puteri kepada Haji Ahmad Bin Ali dan Hajjah Rossminah Binti Hj Yaakup (terkenal dengan panggilan Nyo Nya).
Bagi kami di pihak PKHMS ingin mengucapkan tahniah sekali lagi kepada pasangan pengantin dan keluarga Hajjah Rossminah di atas keberkatan perkahwinan ini. Kami juga mendoakan agar pasangan pengantin baru ini berbahagia sehingga ke akhir hayat mereka dan dikurniakan cahaya mata yang soleh/solehah.
Sekian, wassalam
1 Jan 2012
Selamat Tahun Baru 2012
Assalamualaikum semua ahli PKHMS,
Sempena menyambut tahun baru 2012, kami dari pihak PKHMS ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2012. Kami mengharap agar tahun 2012 menjadi lebih baik dari tahun-tahun sebelum ini.
Pelbagai peristiwa yang berlaku pada tahun ini, suka duka pahit manis dilalui. Kepada yang sudah pergi ramai-ramailah kita menyedekahkan surah Al-Fatihah. Kepada yang baru mendirikan rumah tangga ucapan semoga berbahagia ke anak cucu diucapkan. Kepada yang menyambut kedatangan ahli keluarga baru, semoga berbahagia dengan pemberian dari Allah s.w.t.
Namun walau apa pun yang terjadi, diharap agar dibuang yang keruh dan ambil yang jernih. Semoga tahun baru ini dapat menjadikan kita lebih tabah, kuat dan sabar menghadapi ujian dari Allah s.w.t. Selamat tinggal tahun 2011 dan selamat datang 2012.
Sekian, terima kasih.
11 Dis 2011
Majlis Perkahwinan Muhammad Hafidz & Nensi
Assalamualaikum kepada semua ahli PKHMS,
Pada ruangan kali ini, pihak PKHMS ingin mengucapkan tahniah kepada Muhammad Hafidz Bin Datuk haji Zainal Abidin dan pasangannya iaitu Nensi Binti Nawir yang telah diijabkabulkan pada hari Sabtu bersamaan 3hb Disember 2011. Upacara pernikahan ini telah berlangsung di masjid berdekatan dengan rumah pengantin perempuan di Kg. Baru Pasir Putih, Tawau, Sabah.
Ucapan tahniah sekali lagi kepada Muhammad Hafidz dan pasangan serta Keluarga Datuk Haji Zainal Abidin kerana menerima ahli keluarga baru. Kami dari pihak PKHMS berdoa agar kepada pasangan pengantin ini berbahagia hingga ke akhir hayat.
Pengumuman juga kepada semua ahli PKHMS, pada hari Sabtu, 24hb Disember 2011 bersamaan dengan 28 Muharam 1433 Hijrah akan diadakan Majlis Perkahwinan pihak sebelah lelaki di Dewan Zaaba, IPG Kampus Bahasa Melayu, Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Dijemput semua ahli PKHMS hadir ke majlis perkahwinan ini.
Sekian, terima kasih.
26 Nov 2011
Salam Maal Hijrah 1433
Assalamualaikum kepada semua ahli PKHMS,
Sempena menyambut tahun baru ini, pihak PKHMS ingin mengucapkan salam Maal Hijrah kepada semua ahli PKHMS yang berada di mana-mana. Semoga dengan datangnya tahun baru ini, ia dapat memberikan rahmat dan keberkatan dari Allah swt kepada diri, keluarga dan masyrakat. Kepada pelajar-pelajar yang sedang mengambil peperiksaan SPM, kami dari pihak PKHMS mengucapkan selamat berjaya dan berusaha sehingga ke saat-saat terakhir.
Dari Abdullah bin Mas'ud, katanya:"Bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Tiap-tiap Nabi yang diutus sebelum saya mempunyai pengikut-pengikut dan sahabat-sahabat yang terpilih dari umatnya masing-masing; mereka itu berpegang kepada contoh Nabinya dan menuruti perintahnya; kemudian setelah zaman itu berlalu mereka disambung oleh generasi yang hanya pandai berkata, tetapi tidak bekerja,dan bekerja tetapi tidak menuruti pedoman-pedoman Nabinya. Sesiapa menentang kaum itu dengan kekerasan, mu'minlah ia, menentangnya dengan perkataan, mu'min pula, dan menentangnya dengan hatinya mu'min juga; dan telah habislah iman dari orang-orang yang tidak menentang kemungkaran, walaupun dengan hatinya."(Riwayat Muslim)
5 Nov 2011
Salam Aidiladha 1432H
Assalam semua ahli PKHMS,
Pada esok hari, kita menyambut Hari Raya Aidil Adha yang merupakan salah satu hari kebesaran bagi umat Islam seluruh dunia. Pada hari yang cukup penting lagi dipenuhi sejarah ini, seluruh umat Islam bertakbir, bertasbih, bertahmid, dan turut beringat-ingat tentang kisah yang menjadi teladan buat kita semua: bagaimana Nabi Ismail a.s. telah dengan rela hati meminta ayahandanya Nabi Ibrahim a.s. mengikuti perintah Allah s.w.t. agar dia dikorbankan.
Kita semua ingat bagaimana di saat-saat akhir, Allah s.w.t. telah menggantikan Nabi Ismail a.s. dengan seekor biri-biri, yang akhirnya menjadi korban. Tetapi, apa yang harus kita ingat juga ialah pengajaran: betapa peritnya perasaan si bapa, Nabi Ibrahim a.s., yang harus mengetepikan naluri kebapaannya yang terlalu mengasihi anaknya demi mengerjakan perintah Tuhan. Pengorbanan inilah – untuk mengetepikan perasaan sendiri demi sesuatu yang lebih besar dari diri kita sendiri – yang harus kita ingati dan kita amalkan. Subhanallah.
Janganlah kita asyik memikirkan diri sendiri hingga melupakan perintah-perintah Allah untuk berbuat baik sesama kita, untuk menegakkan keadilan dan menentang kebatilan. Akhir kata, kepada semua ahli PKHMS, kami dari pihak PKHMS ucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha. Kepada yang ingin pulang ke kampung, berhati-hati lah di jalan raya.
Sekian, terima kasih.
6 Okt 2011
Selamat Menghadapi Peperiksaan
Assalamualaikum ahli PKHMS,
Untuk artikel kali ini, kami dari pihak admin agak terlambat kerana peperiksaan UPSR telah lama tamat. Namun begitu, ia tidak bermakna murid darjah 6 sudah boleh bergembira kerana masih ada peperiksaan akhir tahun yang masih menunggu.Oleh itu berusahalah bersungguh-sungguh bagi menghadapi peperiksaan.
Kami dari pihak PKHMS ingin mengucapkan Selamat Menjawab Peperiksaan kepada semua pelajar-pelajar yang sedang menghadapi peperiksaan terutama kepada pelajar yang mengambil PMR. Untuk pelajar yang menghadapi SPM, hendaklah kamu semua bersedia menghadapi peperiksaan ini kerana ia adalah satu titik tolak dalam menentukan masa depan dan kerjaya kamu.
Kepada pelajar-pelajar yang sudah tamat peperiksaannya, isilah masa terluang yang ada dengan aktiviti yang berfaedah dan berpengetahuan. Agar kelak menjadi insan yang berguna untuk agama, bangsa dan negara. Oleh itu, kami dari pihak PKHMS ingin memberikan tip-tip ketika hendak belajar dan ketika berada didalam dewan peperiksaan.
TIPS MENGHADAPI PEPERIKSAAN
SEBELUM PEPERIKSAAN
- Pastikan semua nota dikemaskini dan disusun rapi mengikut aturan sinopsis kursus
- Ulangkaji nota secara konsisten secara individu
- Bina dan jawab soalan daripada nota kuliah
- Semak soalan-soalan yang lepas bagi memastikan
- format soalan (objektif & esei)
- masa yang ditetapkan
- bilangan soalan yang harus dijawab
- markah yang diberikan pada setiap soalan
- Jumpa dan berbincang dengan pensyarah bagi mengenalpasti teknik menjawab soalan yang dikenalpasti
- Adakan perbincangan dalam kumpulan kecil bersama-sama rakan secara konsisten
- Jadi guru dan ajar kepada rakan-rakan anda berkaitan dengan sesuatu topik
- Dapatkan jadual peperiksaan, semak dengan rakan bagi memastikan tarikh, masa dan kursus tepat
- Buat satu jadual yang dapat dilihat jelas
- Bersarapan sebelum ke dewan peperiksaan
- Datang awal ke dewan peperiksaan
- Tenangkan fikiran dan elakkan membuat perbincangan di saat akhir bersama-sama dengan rakan
- Fokuskan pemikiran anda terhadap apa yang anda ketahui
- Bercakap dengan rakan anda sekiranya ia dapat memberi ketenangan kepada anda
- Baca arahan dengan teliti.
- Pastikan apa yang perlu anda lakukan dan bagaimana hendak melakukannya
- Baca setiap soalan dengan teliti.
- Gariskan perkataan yang penting dalam soalan
- Uruskan masa bagi menjawab setiap soalan berpandukan kepada;
- masa yang diperuntukkan bagi keseluruhan peperiksaan
- bilangan soalan yang perlu dijawab
- markah yang diperuntukan bagi setiap soalan dan pecahan bagi setiap soalan
- Lakarkan jawapan dengan menggunakan teknik peta minda dan pastikan dapat memenuhi kehendak soalan
- Tulis jawapan mengikut urutan isi dengan tulisan yang jelas dengan menggunakan pen berdawat terang (hitam)
- Jawab soalan yang mudah terlebih dahulu sebelum memberi perhatian pada soalan yang sukar
- Susun kertas jawapan mengikut urutan nombor soalan
- Pastikan nombor angkagiliran ditulis dengan jelas pada setiap helaian kertas jawapan
- Ikat kertas jawapan dengan kemas dan pastikan semua arahan dituruti
- Letakan kertas jawapan di atas meja sehinggalah dipungut oleh pengawas peperiksaan
- Elakkan daripada membuat ‘post mortem’ bersama-sama dengan rakan selepas waktu peperiksaan.
- Tenangkan fikiran anda dan cuba memberi tumpuan terhadap kertas peperiksaan yang lain
- Yakin diri anda yang anda telah membuat habis baik dalam peperiksaan
- Releks dan lakukan aktiviti riadah sebelum menghadapi kertas peperiksaan yang lain.
Doa untuk kefahaman yang baik dan ingatan sempurna untuk sewaktu menelaah pelajaran
Allahummar zuqna, Ya Rabbi fahaman nabiyyiin, wa hifzaal mursaliin,
wa 'ilhaamal malaikatiil muqarrabbin, fii 'aafiyaati, ya Arhamar raahimiin
Maksudnya: "Wahai Tuhanku, kurniakanlah kami fahaman nabi-nabi dan hafalan para rasul serta mendapat ilham dari para malaikat yang hampir denganMu,
juga kurniakanlah kami kesihatan Wahai Tuhan Yang Amat Pengasih"
Doa sebelum masuk ke dewan peperiksaan
Wa hai yi' lanaa min amrinaa rashadaa
Maksudnya: Ya Allah, persiapkan kami mengenai dengan urusan kami dengan petunjukMu
2 Sep 2011
Mesyuarat Agung Pakatan Keluarga Haji Md Shah 2011
Sempena bulan kemerdekaan pada bulan Ogos 2011 ini, kami dari pihak PKHMS mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 54 dengan tema "Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera". Oleh itu marilah sama-sama kita mengibarkan Jalur Gemilang dan menghayati makna kemerdekaan sebenar.

Pada tarikh keramat ini juga iaitu 31 Ogos 2011 bersamaan dengan 2 Syawal 1432H, pihak PKHMS telah mengadakan Mesyuarat Agung Pakatan Keluarga Haji Md Shah 2011 seperti biasa yang diadakan pada setiap 2 tahun sekali. Pada tahun ini, usia bagi pakatan keluarga ini yang telah genap 30 tahun dan ini adalah satu pencapaian yang amat dibanggakan. Ucapan tahniah diucapkan kepada semua ahli jawatankuasa dan ahli PKHMS kerana telah memberi sokongan pada terhadap pakatan ini.
Berdasarkan kepada mesyuarat agung ini, disini kami menyenaraikan ringkasan bagi isu-isu yang telah dibincangkan:
- Perasmian Mesyuarat Agung Pakatan Keluarga Haji Md Shah dan disertai dengan ucapan penasihat iaitu Datuk Wira Borhan Md Yaman
- Pembubaran ahli jawatankuasa PKHMS 2009/2010
- Perlantikan baru ahli jawatankuasa PKHMS 2011/2012
- Perbentangan laporan kewangan 2011 oleh Haji Zakariah Bin Haji Munji
- Perbentangan laporan pendidikan 2011 oleh Encik Nawawi Bin Hj Md Shah
- Perbentangan laporan kebajikan 2011 oleh Encik Mohideen Bin Ahmad
- Perbentangan laporan laman sesawang PKHMS oleh Encik Ahmad Nadzri Bin Muhammad Nasir
- Penyampaian bantuan kewangan kepada pelajar-pelajar IPTA/IPTS 2010/2011 oleh Haji Mohd Yusof Bin Haji Md Shah
- Perkara-perkara berbangkit
Langgan:
Catatan (Atom)