26 Nov 2011

Salam Maal Hijrah 1433



Assalamualaikum kepada semua ahli PKHMS,

Sempena menyambut tahun baru ini, pihak PKHMS ingin mengucapkan salam Maal Hijrah kepada semua ahli PKHMS yang berada di mana-mana. Semoga dengan datangnya tahun baru ini, ia dapat memberikan rahmat dan keberkatan dari Allah swt kepada diri, keluarga dan masyrakat. Kepada pelajar-pelajar yang sedang mengambil peperiksaan SPM, kami dari pihak PKHMS mengucapkan selamat berjaya dan berusaha sehingga ke saat-saat terakhir.
Dari Abdullah bin Mas'ud, katanya:"Bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Tiap-tiap Nabi yang diutus sebelum saya mempunyai pengikut-pengikut dan sahabat-sahabat yang terpilih dari umatnya masing-masing; mereka itu berpegang kepada contoh Nabinya dan menuruti perintahnya; kemudian setelah zaman itu berlalu mereka disambung oleh generasi yang hanya pandai berkata, tetapi tidak bekerja,dan bekerja tetapi tidak menuruti pedoman-pedoman Nabinya. Sesiapa menentang kaum itu dengan kekerasan, mu'minlah ia, menentangnya dengan perkataan, mu'min pula, dan menentangnya dengan hatinya mu'min juga; dan telah habislah iman dari orang-orang yang tidak menentang kemungkaran, walaupun dengan hatinya."
(Riwayat Muslim)

5 Nov 2011

Salam Aidiladha 1432H


Assalam semua ahli PKHMS,

Pada esok hari, kita menyambut Hari Raya Aidil Adha yang merupakan salah satu hari kebesaran bagi umat Islam seluruh dunia. Pada hari yang cukup penting lagi dipenuhi sejarah ini, seluruh umat Islam bertakbir, bertasbih, bertahmid, dan turut beringat-ingat tentang kisah yang menjadi teladan buat kita semua: bagaimana Nabi Ismail a.s. telah dengan rela hati meminta ayahandanya Nabi Ibrahim a.s. mengikuti perintah Allah s.w.t. agar dia dikorbankan.

Kita semua ingat bagaimana di saat-saat akhir, Allah s.w.t. telah menggantikan Nabi Ismail a.s. dengan seekor biri-biri, yang akhirnya menjadi korban. Tetapi, apa yang harus kita ingat juga ialah pengajaran: betapa peritnya perasaan si bapa, Nabi Ibrahim a.s., yang harus mengetepikan naluri kebapaannya yang terlalu mengasihi anaknya demi mengerjakan perintah Tuhan. Pengorbanan inilah – untuk mengetepikan perasaan sendiri demi sesuatu yang lebih besar dari diri kita sendiri – yang harus kita ingati dan kita amalkan. Subhanallah.

Janganlah kita asyik memikirkan diri sendiri hingga melupakan perintah-perintah Allah untuk berbuat baik sesama kita, untuk menegakkan keadilan dan menentang kebatilan. Akhir kata, kepada semua ahli PKHMS, kami dari pihak PKHMS ucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha. Kepada yang ingin pulang ke kampung, berhati-hati lah di jalan raya.

Sekian, terima kasih.

6 Okt 2011

Selamat Menghadapi Peperiksaan


Assalamualaikum ahli PKHMS,

Untuk artikel kali ini, kami dari pihak admin agak terlambat kerana peperiksaan UPSR telah lama tamat. Namun begitu, ia tidak bermakna murid darjah 6 sudah boleh bergembira kerana masih ada peperiksaan akhir tahun yang masih menunggu.Oleh itu berusahalah bersungguh-sungguh bagi menghadapi peperiksaan.

Kami dari pihak PKHMS ingin mengucapkan Selamat Menjawab Peperiksaan kepada semua pelajar-pelajar yang sedang menghadapi peperiksaan terutama kepada pelajar yang mengambil PMR. Untuk pelajar yang menghadapi SPM, hendaklah kamu semua bersedia menghadapi peperiksaan ini kerana ia adalah satu titik tolak dalam menentukan masa depan dan kerjaya kamu.

Kepada pelajar-pelajar yang sudah tamat peperiksaannya, isilah masa terluang yang ada dengan aktiviti yang berfaedah dan berpengetahuan. Agar kelak menjadi insan yang berguna untuk agama, bangsa dan negara. Oleh itu, kami dari pihak PKHMS ingin memberikan tip-tip ketika hendak belajar dan ketika berada didalam dewan peperiksaan.


TIPS MENGHADAPI PEPERIKSAAN

SEBELUM PEPERIKSAAN

  • Pastikan semua nota dikemaskini dan disusun rapi mengikut aturan sinopsis kursus
  • Ulangkaji nota secara konsisten secara individu
  • Bina dan jawab soalan daripada nota kuliah
  • Semak soalan-soalan yang lepas bagi memastikan
  • format soalan (objektif & esei)
  • masa yang ditetapkan
  • bilangan soalan yang harus dijawab
  • markah yang diberikan pada setiap soalan
  • Jumpa dan berbincang dengan pensyarah bagi mengenalpasti teknik menjawab soalan yang dikenalpasti
  • Adakan perbincangan dalam kumpulan kecil bersama-sama rakan secara konsisten
  • Jadi guru dan ajar kepada rakan-rakan anda berkaitan dengan sesuatu topik
  • Dapatkan jadual peperiksaan, semak dengan rakan bagi memastikan tarikh, masa dan kursus tepat
  • Buat satu jadual yang dapat dilihat jelas
HARI PEPERIKSAAN
  • Bersarapan sebelum ke dewan peperiksaan
  • Datang awal ke dewan peperiksaan
  • Tenangkan fikiran dan elakkan membuat perbincangan di saat akhir bersama-sama dengan rakan
  • Fokuskan pemikiran anda terhadap apa yang anda ketahui
  • Bercakap dengan rakan anda sekiranya ia dapat memberi ketenangan kepada anda
SEMASA PEPERIKSAAN
  • Baca arahan dengan teliti.
  • Pastikan apa yang perlu anda lakukan dan bagaimana hendak melakukannya
  • Baca setiap soalan dengan teliti.
  • Gariskan perkataan yang penting dalam soalan
  • Uruskan masa bagi menjawab setiap soalan berpandukan kepada;
  • masa yang diperuntukkan bagi keseluruhan peperiksaan
  • bilangan soalan yang perlu dijawab
  • markah yang diperuntukan bagi setiap soalan dan pecahan bagi setiap soalan
  • Lakarkan jawapan dengan menggunakan teknik peta minda dan pastikan dapat memenuhi kehendak soalan
  • Tulis jawapan mengikut urutan isi dengan tulisan yang jelas dengan menggunakan pen berdawat terang (hitam)
  • Jawab soalan yang mudah terlebih dahulu sebelum memberi perhatian pada soalan yang sukar
  • Susun kertas jawapan mengikut urutan nombor soalan
  • Pastikan nombor angkagiliran ditulis dengan jelas pada setiap helaian kertas jawapan
  • Ikat kertas jawapan dengan kemas dan pastikan semua arahan dituruti
  • Letakan kertas jawapan di atas meja sehinggalah dipungut oleh pengawas peperiksaan
SELEPAS PEPERIKSAAN
  • Elakkan daripada membuat ‘post mortem’ bersama-sama dengan rakan selepas waktu peperiksaan.
  • Tenangkan fikiran anda dan cuba memberi tumpuan terhadap kertas peperiksaan yang lain
  • Yakin diri anda yang anda telah membuat habis baik dalam peperiksaan
  • Releks dan lakukan aktiviti riadah sebelum menghadapi kertas peperiksaan yang lain.

Doa untuk kefahaman yang baik dan ingatan sempurna untuk sewaktu menelaah pelajaran



Allahummar zuqna, Ya Rabbi fahaman nabiyyiin, wa hifzaal mursaliin,
wa 'ilhaamal malaikatiil muqarrabbin, fii 'aafiyaati, ya Arhamar raahimiin

Maksudnya: "Wahai Tuhanku, kurniakanlah kami fahaman nabi-nabi dan hafalan para rasul serta mendapat ilham dari para malaikat yang hampir denganMu, 

juga kurniakanlah kami kesihatan Wahai Tuhan Yang Amat Pengasih"

Doa sebelum masuk ke dewan peperiksaan

Wa hai yi' lanaa min amrinaa rashadaa

Maksudnya: Ya Allah, persiapkan kami mengenai dengan urusan kami dengan petunjukMu

2 Sep 2011

Mesyuarat Agung Pakatan Keluarga Haji Md Shah 2011


Assalamualaikum wbt, Selamat Hari Raya dan Selamat Menyambut Kemerdekaan ke 54,

Sempena bulan kemerdekaan pada bulan Ogos 2011 ini, kami dari pihak PKHMS mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 54 dengan tema "Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera". Oleh itu marilah sama-sama kita mengibarkan Jalur Gemilang dan menghayati makna kemerdekaan sebenar.



Pada tarikh keramat ini juga iaitu 31 Ogos 2011 bersamaan dengan 2 Syawal 1432H, pihak PKHMS telah mengadakan Mesyuarat Agung Pakatan Keluarga Haji Md Shah 2011 seperti biasa yang diadakan pada setiap 2 tahun sekali. Pada tahun ini, usia bagi pakatan keluarga ini yang telah genap 30 tahun dan ini adalah satu pencapaian yang amat dibanggakan. Ucapan tahniah diucapkan kepada semua ahli jawatankuasa dan ahli PKHMS kerana telah memberi sokongan pada terhadap pakatan ini.

Berdasarkan kepada mesyuarat agung ini, disini kami menyenaraikan ringkasan bagi isu-isu yang telah dibincangkan:
  1. Perasmian Mesyuarat Agung Pakatan Keluarga Haji Md Shah dan disertai dengan ucapan penasihat iaitu Datuk Wira Borhan Md Yaman
  2. Pembubaran ahli jawatankuasa PKHMS 2009/2010
  3. Perlantikan baru ahli jawatankuasa PKHMS 2011/2012
  4. Perbentangan laporan kewangan 2011 oleh Haji Zakariah Bin Haji Munji
  5. Perbentangan laporan pendidikan 2011 oleh Encik Nawawi Bin Hj Md Shah
  6. Perbentangan laporan kebajikan 2011 oleh Encik Mohideen Bin Ahmad
  7. Perbentangan laporan laman sesawang PKHMS oleh Encik Ahmad Nadzri Bin Muhammad Nasir
  8. Penyampaian bantuan kewangan kepada pelajar-pelajar IPTA/IPTS 2010/2011 oleh Haji Mohd Yusof Bin Haji Md Shah
  9. Perkara-perkara berbangkit
Sekian, terima kasih

31 Ogo 2011

Salam Aidilfitri 1432H


Assalamualaikum wbt dan Salam Hari Raya kepada semua ahli PKHMS,

Sempena menjelangnya bulan Syawal yang mulia ini, kami dari pihak PKHMS ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua ahli PKHMS yang berada di Malaysia dan Singapura. Kami juga ingin menyusun sepuluh jari tanda memohon kemaafan zahir dan batin kepada semua ahli PKHMS sekiranya ada salah dan silap zahir batin. Peringatan dari kami ialah semoga semua ahli berada dalam keadaan selamat ketika berhari raya dan berhati-hati ketika memandu ke destinasi anda semua.

Kami juga ingin menjemput anda semua ke perjumpaan hari raya, majlis tahli dan mesyuarat agung Pakatan Keluarga Haji Md Shah tahun 2011. Tarikh dan tempat seperti dibawah:

Hari: Rabu (Hari Raya ke 2)
Tempat: Surau Balai, Kg Melaka Pindah, Alor Gajah, Melaka
Masa: 6.45 ptg

Sekian sahaja dari kami pihak PKHMS, semoga kedatangan Syawal pada kali ini dapat memeriahkan suasana anda dan keluarga. Terima kasih.

1 Ogo 2011

Salam Ramadhan 1432H


Assalamualaikum kepada semua ahli PKHMS,
"Hari ini, merupakan 1 Ogos 2011 juga bersamaan dengan 1 Ramadhan 1432H. Ini bermakna hari ini bermulalah hari untuk kita umat Islam sedunia berpuasa sejajar dengan tuntutan Al-Quran. Ramadhan ialah bulan yang penuh keberkatan. Di awalnya terdapat rahmah, di tengah-tengahnya merupakan maghfirah dan dihujungnya adalah janji Allah S.W.T bagi mereka yang beriman dan ikhlas, yakni kebebasan dari dimasukkan ke api neraka."

Oleh itu, sempena menjelangnya bulan Ramadhan pada tahun ini, kami dari pihak PKHMS ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada semua warga PKHMS. Semoga bulan Ramadhan pada tahun ini akan menjadi lebih bermakna pada diri kita sebagai umat Islam di dunia ini. Maka isikanlah bulan Ramadhan ini dengan amal ibadah seperti berzikir, membaca Al Quran, solat terawin serta dipenuhi dengan amalan-amalan kebaikan bagi memperolehi keberkatan dari Allah SWT.

Sekian sahaja dari kami, salam Ramadhan 1432H.

19 Jul 2011

Pemergian Haji Abdul Aziz Hj Jaudin


Assalamualaikum wbt kepada ahli PKHMS,

Kami dari pihak PKHMS mengucapkan takziah kepada keluarga Hjh Salmiah Binti Haji Md Shah kerana pemergian Allahyarham Haji Abdul Aziz Hj Jaudin. Haji Abdul Aziz yang juga dikenali sebagai Pak Nyah telah meninggal dunia pada 18 Julai 2011 pukul 7 malam di rumah beliau di Taman Keramat AU 2, Kuala Lumpur. Oleh itu, marilah kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham semoga roh beliau dirahmati Allah swt.

Al-Fatihah