Menu
17 Apr 2013
MYDIN Disebalik Tabir
Mydin Mohamed Holdings Berhad melancarkan buku sejarah penubuhannya, Mydin Di Sebalik Tabir, atau versi Inggerisnya Mydin The Untold Story. Buku yang menceritakan tentang sejarah pahit maung pengasasnya, Tuan Mydin Mohamed, dalam membangunkan perniagaan itu ditulis oleh Pengarah Sumber Manusia Mydin, Datin Dr. Siti Hawa Mohd. Menurut beliau, buku itu memuatkan kisah tentang bagaimana MYDIN bermula daripada sebuah perniagaan kecil-kecilan sehingga menjadi salah sebuah pasar raya terbesar di negara ini.
Tambahnya lagi, idea untuk menulis buku ini bermula sejak tahun 1998, iaitu ketika beliau ditawarkan jawatan sebagai Pengarah Sumber Manusia di Mydin. “Namun, hanya dua tahun kebelakangan ini saya baru berkesempatan untuk melengkapkan penulisan buku ini,” katanya. Buku ini sesuai bagi mereka yang ingin menceburkan diri dalam bidang keusahawanan serta perniagaan, tanpa mengira umur dan latar belakang sosial. Segala nilai murni yang ditonjolkan dapat dijadikan panduan oleh para pembaca, terutamanya bagi yang berada dalam bidang perniagaan untuk menjadi seorang peniaga yang berdaya saing
Harga bagi buku ini ialah RM 12.90 bagi versi bahasa Melayu manakala RM 14.90 untuk versi bahasa Inggeris. Majlis yang diadakan di Mid Valley Exhibition Center (MVEC) Mid Valley itu turut dihadiri Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Dato’ Ameer Ali Mydin, beserta Ketua Pegawai Eksekutif MPH Group, Datuk Ng Tieh Chuan.
P/S: Kepada semua ahli PKHMS, dapatkanlah edisi buku ini dipasaran. Moga buku ini dapat memberikan inspirasi kepada kita untuk maju kehadapan dalam apa jua bidang yang kita lalui.
1 Jan 2013
Selamat Tahun Baru 2013
Assalamualaikum semua ahli PKHMS,
Selamat Tahun Baru 2013dari kami, pihak PKHMS dan kami mengharap agar tahun 2013 menjadi lebih baik dari tahun-tahun sebelum ini.
Pelbagai peristiwa yang berlaku pada tahun ini, suka duka pahit manis dilalui. Kepada yang sudah pergi ramai-ramailah kita menyedekahkan surah Al-Fatihah. Kepada yang baru mendirikan rumah tangga ucapan semoga berbahagia ke anak cucu diucapkan. Kepada yang menyambut kedatangan ahli keluarga baru, semoga berbahagia dengan pemberian dari Allah s.w.t.
Kami doakan agar tahun ini menjadi tahun yang terbaik buat anda dan famili
Sekian, terima kasih.
5 Nov 2012
Muhammad Harith Irfan Bin Muhammad Hafidz
Assalamualaikum kepada semua ahli PKHMS,
Ucapan tahniah dari pihak PKHMS diucapkan kepada Keluarga Muhammad Hafidz dan Nensi kerana telah dikurniakan seorang cahaya mata yang diberi nama Muhammad Harith Irfan. Muhammad Harith Irfan telah selamat dilahirkan di Hospital Putrajaya pada hari pertama Hari Raya Aidiladha iaitu 26 Oktober 2012 bersamaan 10 Zulhijjah 1433H.
Dengan kelahiran Muhammad Harith Irfan ini, ia dapat mendatangkan kebahagiaan dan keceriaan kepada keluarga Datuk Haji Zainal Abidin dan Datin Siti Hanifah. Doa dari kami agar Muhammad Harith Irfan menjadi anak yang soleh dan berguna untuk agama, bangsa dan negara. Sekian, terima kasih.
22 Okt 2012
Perkahwinan Hanisah & Eusoff
Assalamualaikum ahli PKHMS,
Ucapan tahniah dari kami pihak PKHMS kepada pasangan pengantin Hanisah Binti Muhammad Nasir dan teman hidupnya Eusoff Salehuddin Bin Md Salehuddin yang telah diijabkabulkan pada hari Ahad bersamaan 21hb Oktober 2012 di Masjid Klebang Besar, Melaka. Bagi kami di pihak PKHMS ingin mengucapkan tahniah kepada pasangan pengantin dan keluarga Haji Muhammad Nasir di atas keberkatan perkahwinan ini. Kami juga mendoakan agar pasangan pengantin baru ini berbahagia sehingga ke akhir hayat mereka dan dikurniakan cahaya mata yang soleh/solehah.
Majlis persandingan pasangan mempelai ini telah dilangsungkan dengan jayanya di Dewan Bistari Ayer Keroh, Melaka. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada para hadirin yang hadir serta ahli keluarga yang membantu untuk menjayakan majlis ini.
Sekian
21 Ogo 2012
Mesyuarat Pakatan Keluarga Haji Mohd Shah 2012
Assalamualaikum semua ahli PKHMS,
Alhamdulillah, syukur ke hadratNya kerana dengan berkat dariNya dapatlah pada hari raya ke-2 pada tahun ini kita berkumpul sekali lagi di Mesyuarat PKHMS 2012. Pada tahun ini, mesyuarat PKHMS ada mencatatkan sejarah kerana mesyuarat ini telah dihadiri oleh keluarga kita yang berasal dari negara jiran kita iaitu yang berada di Singapura. Pihak PKHMS menyambut baik kehadiran ini dengan mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga dan mengharapkan perkara yang baik ini berterusan bagi mengukuhkan ikatan kekeluargaan didalam PKHMS ini.
Untuk mesyuarat pada kali ini, pelbagai perkara yang dibincangkan untuk menambahbaik pertubuhan PKHMS ini. Antara perkara-perkara yang dibincangkan adalah:
- Ucapan kata-kata aluan dari pihak Singapura
- Pendaftaran ahli dan pembayaran yuran tahunan
- Sumbangan pendidikan anak-anak ahli PKHMS ke IPTA/IPTS
- Laporan Penyata Kewangan Tahunan PKHMS 2012
- Penubuhan Koperasi PKHMS serta perlantikan jawatankuasa
- Penjualan baju kemeja-T PKHMS
- Perkara-perkara berbangkit
19 Ogo 2012
Selamat Hari Raya Aidilfitri 1433H
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua ahli PKHMS,
Alhamdulillah syukur kepada Allah yang maha Esa kerana dengan izinNya dapat kita menjalani ibadah puasa selama hampir sebulan di bulan Ramadhan. Kini tibanya bulan Syawal sebagai tanda kemenangan kita dan ia disambut dengan rasa yang penuh kesyukuran.
Kami dari pihak PKHMS dengan penuh rasa hormat ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua ahli PKHMS yang berada di Malaysia, Singapura mahupun yang berada di luar negara. Semoga hari raya kali ini disambut dengan kemeriahan dan kegembiraan tanpa melupakan tanggungjawab kita sebagai seorang muslim.Kepada yang balik ke kampung dan ingin memulakan perjalanan menuju ke destinasi masing-masing, diharap pandu dengan selamat dan berhati-hati di jalanraya. Inshallah.
Kami dari pihak PKHMS ingin menjemput ahli PKHMS untuk hadir ke mesyuarat PKHMS pada malam hari raya kedua bersamaan dengan 20hb Ogos 2012 di Surau Balai, Kampung Melaka Pindah, Alor Gajah, Melaka. Mesyuarat akan bermula dengan solat maghrib berjemaah dan diakhiri dengan mesyuarat PKHMS. Kehadiran anda dialu-alukan.
Sekian, terima kasih.
21 Jul 2012
Salam Ramadhan 1433H
Assalamualaikum kepada semua ahli PKHMS,
"Hari ini, merupakan 21 Julai 2012 juga bersamaan dengan 1 Ramadhan 1433H. Ini bermakna hari ini bermulalah hari untuk kita umat Islam sedunia berpuasa sejajar dengan tuntutan Al-Quran. Ramadhan ialah bulan yang penuh keberkatan. Di awalnya terdapat rahmah, di tengah-tengahnya merupakan maghfirah dan dihujungnya adalah janji Allah S.W.T bagi mereka yang beriman dan ikhlas, yakni kebebasan dari dimasukkan ke api neraka."
Oleh itu, sempena menjelangnya bulan Ramadhan pada tahun ini, kami dari pihak PKHMS ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada semua warga PKHMS. Semoga bulan Ramadhan pada tahun ini akan menjadi lebih bermakna pada diri kita sebagai umat Islam di dunia ini. Maka isikanlah bulan Ramadhan ini dengan amal ibadah seperti berzikir, membaca Al Quran, solat terawin serta dipenuhi dengan amalan-amalan kebaikan bagi memperolehi keberkatan dari Allah SWT.
Sekian sahaja dari kami, salam Ramadhan 1433H.
Langgan:
Catatan (Atom)





