30 Jul 2014

Selamat Hari Raya 2014 dan Kelahiran Ahmad Sufi


Assalamualaikum kepada semua ahli PKHMS,

Kami dari pihak PKHMS ingin mengucapkan Selamat hari raya kepada semua ahli keluarga PKHMS bagi tahun 2014. Kami juga ingin meminta maaf zahir dan batin atas segala perbuatan langsung atau tidak langsung.

Kami juga ingin memaklumkan bahawa En Ahmad Nadzri anak kepada Tuan Haji Muhammad Nasir telah dikurniakan seorang cahaya mata yg bernama Ahmad Sufi pada tanggal 5 Julai 2014. Kami ingin mengucapkan tahniah atas kelahiran anak sulong En Nadzri dan isterinya Pn Norbaizura. Semoga anak yang lahir ini menjadi anak yang soleh dan berguna untuk agama, bangsa dan negara.




19 Feb 2014

Pemergian Muhammad Hambali Bin Muhammad Hafidz

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera ahli PKHMS,



Ucapan takziah dari kami pihak serta ahli PKHMS kepada keluarga Datuk Zainal Abidin dan Muhammad Hafidz atas pemergian Muhammad Hambali pada 18 Februari 2014 bersamaan dengan Selasa 19 Rabiulakhir 1435H.

Muhammad Hambali yang berusia 3 hari seberat 3.6 kilogram telah meninggal dunia di Hospital Putrajaya dan telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Presint 20, Putrajaya. Majlis tahlil bagi Muhammad Hambali juga telah diadakan di Surau Pangsapuri Fasa 4C. Mari sama-sama kita berdoa agar roh Muhammad Hambali diberkati dan dirahmati oleh Allah swt.

Al Fatihah


3 Jan 2014

Majlis Perkahwinan Noor Amalina Binti Zainal Abidin dan Mohd Azrul Nizam Bin Mohd Ismail

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,


Terlebih dahulu ingin meminta maaf atas kelewatan untuk menerbitkan ruangan pada kali ini. Ruangan kali ini adalah untuk memberi makluman mengenai majlis perkahwinan untuk puteri kepada Datuk Prof Haji Zainal Abidin dan Datin Siti Hanipah iaitu Noor Amalina dan pasangannya Mohd Azrul Nizam.

Pada tanggal 30 November 2013 bersamaan dengan hari Sabtu telah berlangsungnya majlis pernikahan diantara saudari Noor Amalina dan saudara Mohd Azrul Nizam dirumah Datuk Prof Hj Zainal Abidin di Gombak. Majlis ini telah selamat diraikan oleh keluarga, sanak saudara dan sahabat handai yang juga telah bekerjasama dalam memastikan majlis tersebut berjalan lancar. Bagi majlis persandingan mempelai ini, majlis telah berlangsung pada tarikh 1 November 2013 di Dewan Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa, Bangsar, Kuala Lumpur.

Kami dari pihak PKHMS mengucapkan tahniah dan mendoakan semoga kedua mempelai ini dapat melayari bahtera perkahwinan dengan aman sejahtera dan cepat-cepat menimang cahaya mata.

Sekian, terima kasih

2 Jan 2014

Pemergian Datuk Wira Haji Borhan Bin Md Yaman

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera ahli PKHMS,


Datuk Wira Haji Borhan bin Md Yaman

Setelah beberapa hari pemergian Allahyarham Haji Md Yusof, kita dikejutkan dengan pemergian salah seorang ahli keluarga kita yang dahulunya beliau adalah Pengerusi PKHMS iaitu Datuk Wira Hj Borhan bin Md Yaman. Beliau telah menghembuskan nafas terakhir pada 29 Disember 2013 bersamaan dengan hari Ahad pada pukul 7.40 pagi di Pusat Perubatan UKM, Kuala Lumpur. 

Jenazah beliau telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Klebang Besar, Melaka. Allahyarham yang telah dilahirkan di Lubok Redan, Kuala Sungai Baru telah meninggal dunia pada umur 84 tahun.

Allahyarham yang memang terkenal sebagai seorang ahli politik sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menjadi Yang Dipertua UMNO pada 1951 sehingga 1971. Semasa hidupnya, pelbagai perkara yang dilakukan oleh beliau bagi menegakkan agama, bangsa dan bahasa.

Kita mendoakan semoga roh Allahyarham diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT dalam menghadapi alam lain. Al Fatihah.



Keratan akhbar online:

  1. Berita Harian 29/12/2013
  2. Sinar Harian 29/12/2013
  3. Melaka Hari Ini (30/12/2013)

Pemergian Haji Yusof Bin Hj Md Shah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua ahli PKHMS,


Haji Yusof Bin Hj Md Shah (1942 - 2013)
Kami dari pihak PKHMS dengan dukacitanya ingin memaklumkan mengenai berita pemergian bekas Pengerusi Pakatan Keluarga Haji Md Shah iaitu Haji Yusof Bin Hj Md Shah yang telah meninggal dunia pada tanggal 26 Disember 2013 bersamaan dengan hari Khamis pada pukul 9.30 malam di Hospital Besar Kuala Lumpur.

Jenazah beliau telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat AU 1, Kuala Lumpur yang mana telah dihadiri oleh keluarga dan sahabat handai. Ucapan takziah kepada keluarga Hajah Rohani diatas pemergian Haji Yusof yang juga dikenali sebagai Tok Uda dikalangan cucu-cucunya. Moga roh beliau dirahmati dan diberkati oleh Allah SWT. Amin Ya Rabbal Alamin. Al Fatihah


23 Sep 2013

Tahniah kepada Azlan dan Nurul Huda


Assalamualaikum kepada semua ahli PKHMS

Kami dari pihak PKHMS ingin mengucapkan tahniah kepada pasangan Azlan dan Nurul Huda kerana telah mendapat seorang cahaya mata lelaki yang ketiga pada hari Sabtu bersamaan 21 September 2013.

Ini juga merupakan cucu ketiga untuk keluarga Haji Muhammad Nasir. Semoga kedatangan permata ini dapat menambahkan lagi keceriaan dan keharmonian keluarga ini. Kami doakan agar permata baru ini menjadi anak yang soleh serta umat Islam yang terbaik.

P/S: Untuk doa agar anak mudah solat boleh amalkan doa dari Surah Ibrahim ayat ke 40. Inshallah anak serta keturunan kita menjadi lebih amanah dalam menunaikan solat iaitu tiang agama Islam.

31 Ogo 2013

Sekitar Majlis Perkahwinan Nadzri & Norbaizura dan Nur Sabrina & Hamdan


Assalamualaikum kepada semua ahli PKHMS,

Pihak PKHMS ingin mengucapkan tahniah kepada kedua mempelai iaitu Nadzri & Norbaizura dan yang telah melayari bahtera perkahwinan dengan berlangsungnya Majlis Perkahwinan mereka pada 24 Ogos 2013. Pihak Encik Muhammad Nasir dan keluarga ingin mengucapkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua ahli PKHMS yang hadir ke majlis ini. Mohon agar mendoakan kedua mempelai semoga berbahagia hingga ke akhir hayat.


Sempena 31 Ogos 2013 ini, pihak PKHMS ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 56 kepada semua warga PKHMS. Nikmatilah kemerdekaan ini dengan rasa syukur dan bangga  sebagai rakyat Malaysia dengan cara mengikis rasa benci dan diskriminasi sesama bangsa Malaysia. Selamat Hari Kemerdekaan ke 56.

14 Ogo 2013

Majlis Perkahwinan Ahmad Nadzri & Norbaizura dan Nur Sabrina & Hamdan


Assalamualaikum kepada semua ahli PKHMS,

Ruangan pada kali ini adalah untuk menyampaikan jemputan dari Encik Haji Muhammad Nasir Bin Dato' Wira Hj Burhan dan Puan Norhayati Binti Othman kepada semua ahli PKHMS ke majlis perkahwinan kepada dua pasangan mempelai iaitu Ahmad Nadzri & Norbaizura dan Nur Sabrina & Hamdan.


Majlis ini diadakan di Dewan Mini Stadium Bistari, Ayer Keroh pada Sabtu, 24 Ogos 2013 bersamaan 17 Syawal 1434 Hijrah. Majlis bermula dari 11 pagi hingga 4 petang. Ucapan tahniah kepada kedua mempelai dan kami dari pihak PKHMS mengucapakan semoga berbahagia melayari alam perkahwinan dengan berlandaskan syariat Islam. InshAllah.

Sekian....

7 Ogo 2013

Selamat Hari Raya 1434H

Assalamualaikum kepada semua ahli PKHMS,


Sedar tidak sedar hampir sebulan kita telah berpuasa di bulan Ramadan bagi menunaikan rukun Islam yang ketiga. Dalam pada itu juga kita menuju kepada hari kemenangan kita yang disambut pada bulan Syawal. Sempena bulan Syawal yang akan menjelang tiba ini, kami dari pihak PKHMS ingin mengucapkan Selamat Hari Raya dan mohon ampun dan maaf sekiranya ada yang kesilapan yang dilakukan kepada semua ahli PKHMS.

Kami juga ingin mengingatkan kepada semua ahli agar berhati-hati dalam perjalanan pulang ke kampung halaman dan semasa jalan beraya ke rumah sanak-saudara. Sebelum pulang jangan lupa untuk memeriksa keadaan rumah dan kereta agar tiada sebarang masalah yang berlaku. Akhir sekali, jagalah diri anda dan keluarga agar sihat sentiasa dan dalam keadaan yang baik. Jika makan, biarlah berpada-pada jangan sampai merana diri.

Dikesempatan ini, ingin kami berpantun raya. Kalau tidak berpantun, bukan orang Melaka namanya.
Andai Hamka menyusun kata
Terciptalah kata-kata yang aulia 
Mari bermaafan sesama kita 
Di pagi Aidilfitri yang mulia
Dalam manis ada hempedu
Dalam kata-kata banyak maknanya
Sayunya hati ramadhan yang kian berlalu
Untuk menyambut bulan syawal yg bakal menjelma
Ketupat nasi ketupat palas
Masakan timur dan juga barat 
Maaf di hati mohonnya ikhlas
Salah ditegur maaf beradat 

10 Jul 2013

Salam Ramadhan 1434H


Assalam kepada semua ahli PKHMS,

Untuk tahun 1434H ini, sekali lagi bulan Ramadhan telah menjelang tiba dan tidak terasa bulan yang agung penuh berkah rahmat dan ampunan Ilahi segera menyapa kita ditahun 2013. Ini secara tidak langsung juga, bermula tanggungjawab umat Islam menunaikan rukun Islam yang ketiga. Semoga kedatangan Ramadhan ini mendatangkan keberkatan dan kerahmatan kepada kita untuk merasai nikmatnya ibadah dan amal dalam bulan penuh keberkahan ini.

Oleh itu, dengan rasa syukurnya kami dari pihak PKHMS ingin mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua ahli PKHMS dan berharap agar kita dapat berjumpa pada Mesyuarat Pakatan Keluarga Haji Md Shah di hari kedua bulan Syawal nanti.

RENUNGAN DIRI & BERSAMA

PERASAN TAK ??

PERASAN TAK?...Duit RM50 kelihatan begitu besar bila dibawa ke kotak derma masjid, tapi begitu kecil bila dibawa ke StarHill, MegaMall dan seangkatan dengannya...

PERASAN TAK?...30 minit terasa begitu lama untuk berzikir, tetapi begitu pendek untuk menonton drama2 di televisyen...
...
PERASAN TAK?...Betapa lamanya 2 jam berada di masjid, tetapi betapa cepatnya 2 jam ketika menonton wayang di panggung...

PERASAN TAK?...Susah sungguh merangkai kata untuk dipanjatkan doa ketika solat, tapi betapa mudahnya cari bahan bersembang bila bertemu kawan-kawan...

PERASAN TAK?...Betapa seronoknya mendengar seruan dan teriakan yang berpanjangan waktu perlawanan bola sepak, tapi betapa bosannya bila imam solat terawih bulan Ramadhan lama dan panjang...

PERASAN TAK?...Susah sangat baca Al-Quran 1 juzuk saja, tapi majalah hiburan dan novel best seller 100 halaman pun habis ditelaah...

PERASAN TAK?...Orang berebut depan untuk menonton bola dan konsert, tapi berebut saf paling belakang bila solat Jumaat supaya boleh cepat keluar....

Ada 3 Hal dalam hidup yang tidak boleh kembali :
1. Waktu
2. Kata-kata 
3. Kesempatan

Ada 3 Hal yg dapat menghancurkan hidup seseorang:
1. Kemarahan
2. Keangkuhan
3. Dendam

Ada 3 Hal yang tidak boleh hilang :
1. Harapan 
2. Keikhlasan 
3. Kejujuran

Ada 3 Hal yang paling berharga:
1. Kasih Sayang
2. Cinta
3. Kebaikan

Ada 3 Hal dalam hidup yang tidak pernah pasti:
1. Kekayaan
2. Kejayaan
3. Mimpi

Ada 3 Hal yang membentuk watak seseorang:
1. Komitmen 
2. Ketulusan 
3. Kerja keras 

Ada 3 Hal yang membuat kita sukses:
1. Tekad 
2. Kemahuan 
3. Fokus ..

Ada 3 Hal yang tidak pernah kita tahu:
1. Rezeki
2. Umur
3. Jodoh

TAPI, ada 3 Hal dalam hidup yang PASTI :
1. Tua
2. Sakit

3. Kematian

5 Jul 2013

Platform Baru dan Wajah Baru


Assalamualaikum ahli PKHMS,

Kita telah mengharungi separuh daripada tahun 2013, pelbagai perkara yang telah diharungi, dikecapi dan ada yang telah dilepaskan untuk sesuatu perkara yang kita hadapi sekarang.

Kami dari pihak PKHMS juga menghadapi pelbagai kesulitan untuk menguruskan laman web pkhms.net disebabkan oleh kesilapan teknikal. Antara kesilapan teknikal ini adalah kelemahan keselamatan sistem yang mana ramai pengodam telah mengodam laman web PKHMS sehingga telah berjaya menceroboh pangkalan data untuk mengucar-kacirkan laman web tersebut. Oleh itu, kami telah memindahkan kandungan web berkenaan kepada bentuk weblog yang mana ia lebih mudah untuk diakses oleh ahli PKHMS serta tidak mudah digodam.

Oleh itu, kami dari pihak PKHMS ingin meminta maaf atas segala kesulitan yang wujud semasa mengakses laman web PKHMS. Semoga dengan adanya platform baru ini, ia dapat memudahkan ahli PKHMS untuk mendapatkan dan menyebarkan maklumat mengenai PKHMS.

Kepada sesiapa yang ingin memberikan makluman, berita serta iklan boleh email kepada pihak PKHMS di pkhms1981@gmail.com. Sekian, terima kasih.

17 Apr 2013

MYDIN Disebalik Tabir


Mydin Mohamed Holdings Berhad melancarkan buku sejarah penubuhannya, Mydin Di Sebalik Tabir, atau versi Inggerisnya Mydin The Untold Story. Buku yang menceritakan tentang sejarah pahit maung pengasasnya, Tuan Mydin Mohamed, dalam membangunkan perniagaan itu ditulis oleh Pengarah Sumber Manusia Mydin, Datin Dr. Siti Hawa Mohd. Menurut beliau, buku itu memuatkan kisah tentang bagaimana MYDIN bermula daripada sebuah perniagaan kecil-kecilan sehingga menjadi salah sebuah pasar raya terbesar di negara ini.

Tambahnya lagi, idea untuk menulis buku ini bermula sejak tahun 1998, iaitu ketika beliau ditawarkan jawatan sebagai Pengarah Sumber Manusia di Mydin. “Namun, hanya dua tahun kebelakangan ini saya baru berkesempatan untuk melengkapkan penulisan buku ini,” katanya. Buku ini sesuai bagi mereka yang ingin menceburkan diri dalam bidang keusahawanan serta perniagaan, tanpa mengira umur dan latar belakang sosial. Segala nilai murni yang ditonjolkan dapat dijadikan panduan oleh para pembaca, terutamanya bagi yang berada dalam bidang perniagaan untuk menjadi seorang peniaga yang berdaya saing

Harga bagi buku ini ialah RM 12.90 bagi versi bahasa Melayu manakala RM 14.90 untuk versi bahasa Inggeris. Majlis yang diadakan di Mid Valley Exhibition Center (MVEC) Mid Valley itu turut dihadiri Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Dato’ Ameer Ali Mydin, beserta Ketua Pegawai Eksekutif MPH Group, Datuk Ng Tieh Chuan.

P/S: Kepada semua ahli PKHMS, dapatkanlah edisi buku ini dipasaran. Moga buku ini dapat memberikan inspirasi kepada kita untuk maju kehadapan dalam apa jua bidang yang kita lalui.

1 Jan 2013

Selamat Tahun Baru 2013


Assalamualaikum semua ahli PKHMS,

Selamat Tahun Baru 2013dari kami, pihak PKHMS dan kami mengharap agar tahun 2013 menjadi lebih baik dari tahun-tahun sebelum ini.

Pelbagai peristiwa yang berlaku pada tahun ini, suka duka pahit manis dilalui. Kepada yang sudah pergi ramai-ramailah kita menyedekahkan surah Al-Fatihah. Kepada yang baru mendirikan rumah tangga ucapan semoga berbahagia ke anak cucu diucapkan. Kepada yang menyambut kedatangan ahli keluarga baru, semoga berbahagia dengan pemberian dari Allah s.w.t.

Kami doakan agar tahun ini menjadi tahun yang terbaik buat anda dan famili

Sekian, terima kasih.

5 Nov 2012

Muhammad Harith Irfan Bin Muhammad Hafidz


Assalamualaikum kepada semua ahli PKHMS,

Ucapan tahniah dari pihak PKHMS diucapkan kepada Keluarga Muhammad Hafidz dan Nensi kerana telah dikurniakan seorang cahaya mata yang diberi nama Muhammad Harith Irfan. Muhammad Harith Irfan telah selamat dilahirkan di Hospital Putrajaya pada hari pertama Hari Raya Aidiladha iaitu 26 Oktober 2012 bersamaan 10 Zulhijjah 1433H.

Dengan kelahiran Muhammad Harith Irfan ini, ia dapat mendatangkan kebahagiaan dan keceriaan kepada keluarga Datuk Haji Zainal Abidin dan Datin Siti Hanifah. Doa dari kami agar Muhammad Harith Irfan menjadi anak yang soleh dan berguna untuk agama, bangsa dan negara. Sekian, terima kasih.

22 Okt 2012

Perkahwinan Hanisah & Eusoff


Assalamualaikum ahli PKHMS,

Ucapan tahniah dari kami pihak PKHMS kepada pasangan pengantin Hanisah Binti Muhammad Nasir dan teman hidupnya Eusoff Salehuddin Bin Md Salehuddin yang telah diijabkabulkan pada hari Ahad bersamaan 21hb Oktober 2012 di Masjid Klebang Besar, Melaka. Bagi kami di pihak PKHMS ingin mengucapkan tahniah kepada pasangan pengantin dan keluarga Haji Muhammad Nasir di atas keberkatan perkahwinan ini. Kami juga mendoakan agar pasangan pengantin baru ini berbahagia sehingga ke akhir hayat mereka dan dikurniakan cahaya mata yang soleh/solehah.

Majlis persandingan pasangan mempelai ini telah dilangsungkan dengan jayanya di Dewan Bistari Ayer Keroh, Melaka. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada para hadirin yang hadir serta ahli keluarga yang membantu untuk menjayakan majlis ini.

Sekian

21 Ogo 2012

Mesyuarat Pakatan Keluarga Haji Mohd Shah 2012


Assalamualaikum semua ahli PKHMS,

Alhamdulillah, syukur ke hadratNya kerana dengan berkat dariNya dapatlah pada hari raya ke-2 pada tahun ini kita berkumpul sekali lagi di Mesyuarat PKHMS 2012. Pada tahun ini, mesyuarat PKHMS ada mencatatkan sejarah kerana mesyuarat ini telah dihadiri oleh keluarga kita yang berasal dari negara jiran kita iaitu yang berada di Singapura. Pihak PKHMS menyambut baik kehadiran ini dengan mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga dan mengharapkan perkara yang baik ini berterusan bagi mengukuhkan ikatan kekeluargaan didalam PKHMS ini.

Untuk mesyuarat pada kali ini, pelbagai perkara yang dibincangkan untuk menambahbaik pertubuhan PKHMS ini. Antara perkara-perkara yang dibincangkan adalah:
  1. Ucapan kata-kata aluan dari pihak Singapura
  2. Pendaftaran ahli dan pembayaran yuran tahunan
  3. Sumbangan pendidikan anak-anak ahli PKHMS ke IPTA/IPTS
  4. Laporan Penyata Kewangan Tahunan PKHMS 2012
  5. Penubuhan Koperasi PKHMS serta perlantikan jawatankuasa
  6. Penjualan baju kemeja-T PKHMS
  7. Perkara-perkara berbangkit
Perbincangan selanjutnya mengenai perkara-perkara berbangkit akan dibincangkan didalam mesyuarat seterusnya oleh ahli jawatankuasa PKHMS. Terima kasih kami dari pihak PKHMS terhadap sokongan yang diberikan dan harap pada tahun hadapan dapat diramaikan lagi penyertaan untuk mesyuarat ini. Sekian, terima kasih.

19 Ogo 2012

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1433H


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua ahli PKHMS,

Alhamdulillah syukur kepada Allah yang maha Esa kerana dengan izinNya dapat kita menjalani ibadah puasa selama hampir sebulan di bulan Ramadhan. Kini tibanya bulan Syawal sebagai tanda kemenangan kita dan ia disambut dengan rasa yang penuh kesyukuran.

Kami dari pihak PKHMS dengan penuh rasa hormat ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua ahli PKHMS yang berada di Malaysia, Singapura mahupun yang berada di luar negara. Semoga hari raya kali ini disambut dengan kemeriahan dan kegembiraan tanpa melupakan tanggungjawab kita sebagai seorang muslim.Kepada yang balik ke kampung dan ingin memulakan perjalanan menuju ke destinasi masing-masing, diharap pandu dengan selamat dan berhati-hati di jalanraya. Inshallah.

Kami dari pihak PKHMS ingin menjemput ahli PKHMS untuk hadir ke mesyuarat PKHMS pada malam hari raya kedua bersamaan dengan 20hb Ogos 2012 di Surau Balai, Kampung Melaka Pindah, Alor Gajah, Melaka. Mesyuarat akan bermula dengan solat maghrib berjemaah dan diakhiri dengan mesyuarat PKHMS. Kehadiran anda dialu-alukan.

Sekian, terima kasih.

21 Jul 2012

Salam Ramadhan 1433H



Assalamualaikum kepada semua ahli PKHMS,
"Hari ini, merupakan 21 Julai 2012 juga bersamaan dengan 1 Ramadhan 1433H. Ini bermakna hari ini bermulalah hari untuk kita umat Islam sedunia berpuasa sejajar dengan tuntutan Al-Quran. Ramadhan ialah bulan yang penuh keberkatan. Di awalnya terdapat rahmah, di tengah-tengahnya merupakan maghfirah dan dihujungnya adalah janji Allah S.W.T bagi mereka yang beriman dan ikhlas, yakni kebebasan dari dimasukkan ke api neraka."

Oleh itu, sempena menjelangnya bulan Ramadhan pada tahun ini, kami dari pihak PKHMS ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada semua warga PKHMS. Semoga bulan Ramadhan pada tahun ini akan menjadi lebih bermakna pada diri kita sebagai umat Islam di dunia ini. Maka isikanlah bulan Ramadhan ini dengan amal ibadah seperti berzikir, membaca Al Quran, solat terawin serta dipenuhi dengan amalan-amalan kebaikan bagi memperolehi keberkatan dari Allah SWT.

Sekian sahaja dari kami, salam Ramadhan 1433H.

6 Jun 2012

Tahniah Datuk Wira Borhan Md Yaman


Assalamualaikum ahli PKHMS,

Ucapan tahniah diucapkan dari kami pihak PKHMS kepada Datuk Wira Borhan Md Yaman diatas anugerah Tokoh Melayu Terbilang UMNO yang diterimanya dari UMNO negeri Melaka pada 24 Mei 2012. Ini adalah buat julung-julung kalinya, tokoh pendidik diangkat sebagai Tokoh Melayu Terbilang UMNO sempena sambutan Ulang Tahun Ke-66 UMNO di Seri Bendahara.

Datuk Wira Borhan Md Yaman telah dipilih menerima anugerah Tokoh Melayu Terbilang UMNO diatas jasa dan pengorbanan menjadi Setiausaha UMNO negeri Melaka pada awal 1950-an. Beliau yang telah bersara dari arena politik pada 1984, antara lain pernah dianugerahkan Tokoh Budaya Melaka (1997), Tokoh Guru Melaka (1989) dan Tokoh Guru Kebangsaan (2006).

Beliau telah menerima sepasang persalinan, sijil dan wang tunai RM5,000. Majlis penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam. Terdahulu, satu majlis bacaan Yasin dan tahlil bagi mengenang jasa, pengorbanan dan perjuangan tokoh-tokoh UMNO telah turut diadakan.

Sementara itu, Datuk Wira Borhan ditemui selepas majlis sambutan berkenaan menyatakan rasa terharu dan bangga terhadap anugerah yang diterima. "Walaupun saya tidak lagi berupaya membantu UMNO, tetapi semangat perjuangan parti masih utuh dan kukuh di sanubari saya", katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

Sumber Profil Tokoh Datuk Wira Borhan Md Yaman (BURMY): Arkib Negara Malaysia

27 Mei 2012

Undangan Perkahwinan Shahqhireen dan Jumiati


Assalamualaikum ahli PKHMS,

Tahniah kami ucapkan kepada pasangan pengantin Mohd Shahqhireen Bin Mohammad Yatim dan teman hidupnya Jumiati Binti Rosly yang akan melangsungkan majlis perkawinan mereka pada hari Sabtu bersamaan 2 Jun 2012. Di alamat Lot 3664, Bt 22, Kg Lubok Redan, 78300, Masjid Tanah, Melaka. Pengantin lelaki ini adalah putera kepada Haji Mohammad Yatim bin Abd Ghani dan Hajjah Taibah Binti Yaakob.

Bagi kami di pihak PKHMS ingin mengucapkan tahniah sekali lagi kepada pasangan pengantin dan keluarga Hajjah Taibah di atas keberkatan perkahwinan ini. Kami juga mendoakan agar pasangan pengantin baru ini berbahagia sehingga ke akhir hayat mereka dan dikurniakan cahaya mata yang soleh/solehah.